ANUGERAH Pilihan Pembaca Popular- Berita Harian 2009
Petikan Akhbar Berita Harian 19 Jun 2009 (klik sini) atau anda juga boleh lawati laman blog saya http://www.artmand.com , untuk maklumat mengenai penerbitan dan buku buku tulisan saya yang lain.
Dunia Buku: Undi penulis pilihan
Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim
rashiqah@bharian.com.my
ANUGERAH Pilihan Pembaca Popular- Berita Harian 2009 Kategori Bukan Fiksyen menyenaraikan 10 buku terbitan tempatan dalam bahasa Melayu untuk pilihan pembaca dan borang penyertaan asal perlu dikembalikan kepada penganjur selewat-lewatnya 15 Julai ini.
Teknik Memotivasikan Anak Cara Positif karya Tengku Asmadi yang turut disenaraikan untuk pilihan pembaca membongkar panduan mendidik anak cara positif dan praktikal selain memuatkan kajian kes dan kisah kehidupan yang memberi inspirasi kepada semua ibu bapa.
Ahmadinejad Singa Baru Dunia Islam oleh Muhsib Labib, Ibrahim Muharam, Musa Kahzim dan Alfian Hamzah menampilkan penyelidikan empat wartawan bebas, membawa pembaca mengenali singa baru dunia Islam abad ini dengan lebih dekat.
Travelog Haji Mengubah Sempadan Iman karya Muhd Kamil Ibrahim termasuk dalam kelompok buku motivasi dakwah, membawa pembaca mengenal kebesaran Allah SWT melalui pelbagai kisah menarik dan berbeza mengikut amalan individu di Tanah Haram.
Rahsia Buat Duit Dengan ebay karya Azahar Abdul Rahman memberi panduan menarik mengenai cara membuka dan mengurus akaun e-bay, memahami proses pembidaan dan bayaran, menggunakan e-mel bagi memberi maklum balas kepada pembeli, menyedia data pelanggan dan mengenal pasti produk yang mendapat sambutan.
Minda Muslim Super karya Dr Danial Zainal Abidin pula memfokuskan Islam sebagai satu acuan dan modul dalam kehidupan yang mampu melahirkan golongan hebat melalui pendekatan kontemporari, disusuli dengan pandangan berdasarkan kajian pakar.
Fikir-Fikirlah oleh Dr HM Tuah Iskandar ialah buku motivasi dengan teknik penulisan santai mengajak pembaca menerima mesej yang cuba disampaikan pengarang, dengan panduan dalam usaha membantu kelompok sasar membaiki kekurangan diri di samping mendorong mereka berfikir secara tenang dan berkeyakinan.
Hadiah Untuk Muslimah karya Ustazah Siti Nor Bahyah Mahmood, memuatkan panduan asas fikah wanita seperti asas Fardu Ain khususnya kaedah bersuci, jenis air, pembahagian najis, istinjak, wuduk, tayamum, jenis darah, mandi, solat, menutup aurat, solat jenazah, zakat, berpuasa, haji, perkahwinan, pergaulan, perhiasan dan mendidik anak.
Membina Cinta Sayang karya Dr H M Tuah Iskandar dalam Siri Motivasi Kasih Sayang dapat membantu pembaca mengenali peribadi dan psikologi lelaki, sekali gus membantu wanita untuk menilai jenis lelaki yang diinginkan mereka.
Langkah Bijak Usahawan karya Dr Mohd Fadzilah Kamsah Muhammad Zakaria memberi panduan untuk tampil sebagai usahawan bijak dengan penerapan konsep seseorang usahawan perlu memiliki hati sekeras batu untuk berhadapan dengan cabaran, tetapi mempunyai perasaan selembut air untuk berhadapan dengan ramai insan yang pelbagai ragam.
Pembaca Sastera, Dunia Buku, jangan lupa mendapatkan borang asal penyertaan yang akan diterbitkan bagi memberi sebanyak undian kepada pengarang pilihan anda pada 26 Jun bagi memastikan penulis pilihan anda mendapat undian terbanyak dan muncul sebagai pemenang.
